Saturday, November 7, 2009

Adakah Pimpinan PAS Akan Memilih Pendekatan Primitif?



Seminar politik pemerkasaan PAS yang berlangsung hari ini di Taman Melewar telah selesai sekitar jam 6 petang tadi. Walaupun Anak Bapa meminta pihak penganjur untuk melanjutkan lagi waktu perbahasan kerana ramai lagi yang mahu bercakap, tetapi permohonan ditolak dengan alasan ada perlawanan akhir bolasepak Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan pada sebelah malam. Anak Bapa dan teman-teman berkongsi pandangan bahawa betapa penting majlis ini dan dengan itu perlu dilanjutkan bagi mencapai keputusan yang mantap. Tetapi apakan daya ……..

Sebelah paginya kami telah dihidangkan dengan menu Profesor Aziz Bari dan Dr. Abu Hassan. Ada di kalangan perwakilan yang cuba meratah Aziz Bari kerana tulisan-tulisan beliau tempohari yang dianggap keras dan “mengaibkan” pimpinan PAS terutamanya Ustaz Abdul Hadi Awang, namun tak kurang juga yang memberi sokongan. Anak Bapa turut berucap memberi sokongan atas kritikan beliau kerana berpandangan kehebatan pemimpin tidak tercalar kerana kritikan malah boleh memberi manfaat jika ditangani dengan betul. PAS kini bukan lagi parti kampong yang setiap kali pilihanraya hanya bercita-cita untuk menjadi pembangkang yang kuat. PAS bersama rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat kini adalah “government-in-waiting” untuk pilihanraya umum akan datang. Segala tindak-tanduknya menjadi perhatian semua pihak dan terus menerus diperkatakan. Pimpinan PAS tidak lagi boleh berbuat atau bercakap sewenang-wenangnya tanpa menerima apa-apa konsekuen. Ini terbukti daripada hasil kajian dan bancian yang dibuat oleh Dr. Abu Hassan di mana PAS kini mengalami pengurangan sokongan yang ketara di kalangan pengundi muda dan masaalah kepimpinan (termasuk kepimpinan Ustaz Abdul Hadi) adalah antara faktor utama penolakkan rakyat.

Persoalan persepsi menjadi tajuk panas perbincangan sehingga ke tahap memerlukan penerangan panjang lebar daripada Dr. Abu Hassan. Baginya abad ke 21 adalah abad “perhatian”. Persepsi menjadi bahan utama dalam membentuk informasi rakyat. Penolakan persepsi ini adalah satu langkah ketidakbijakkan politik PAS dan pemimpin terbabit dianggap sebagai golongan primitif.

Pada sebelah petangnya, perwakilan negeri-negeri berucap membincangkan ucaptama presiden. Pelbagai teguran dibuat terutama kepada pimpinan supaya terus mendaulatkan Pakatan Rakyat dan menentang UMNO/BN. Perwakilan Johor, Melaka dan Perak telah berucap dengan baik. Mutu ucapan daripada Pemuda, Ulama, Terengganu dan Selangor pula amat menyedihkan (Anak Bapa tertanya-tanya sapa yang lantik Ustaz Sallehin menjadi wakil kami. Bincang pun tak!). Di kala parti memerlukan pemikiran bernas untuk diperkasakan, mereka sibuk pula nak “berkhutbah” dengan retorik lama dan tak berkaitan. Aduh …….

Apapun, Anak Bapa boleh kata ada sedikit kepuasan melihatkan keberanian ramai perwakilan untuk mengenengahkan pandangan yang berbeda dan kadangkala agak drastik, dan mood perwakilan dan pemerhati yang begitu penat dan bosan dengan pergeseran sesama pimpinan atasan dan tindak-tanduk pimpinan PAS Selangor yang kelihatan seperti anti Pakatan Rakyat. Apa yang penting sekarang ialah menghadam apa yang dilontarkan hari ini dan terus menerus memperbaiki jamaah. Pimpinan atasan terutamanya, perlu mengkaji semua aspek perbincangan dan mengambil segala langkah perlu bagi memastikan segala kekusutan dapat dirongkai dan segala perbalahan dapat didamaikan demi keharmonian parti, PR dan seterusnya rakyat Malaysia. Amin ………

Anak Bapa: Kudos Ustaz Hadi kerana menghadapi dengan tenang kritikan Profesor Aziz Bari. Yang paling malu dan memalukan hari ini ialah Ustaz Abu Bakar Chik dengan ucapannya yang hampeh ……..

Thursday, November 5, 2009

Apa Khabar Tok Guru Nik Aziz?



Kepada yang belum maklum, Tok Guru Nik Aziz ni adalah Mursyidul Am PAS. Mursyidul Am ni kalau dalam bahasa mudah “spiritual leader” PASlah, yakni tempat rujukan jika ada masalah besar yang tak boleh diselesaikan atau bagi mendapatkan nasihat atas perkara-perkara penting. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana keperibadian dan keilmuan Tok Guru yang amat hebat hampir sukar untuk ditandingi oleh mana-mana peribadi rakyat Malaysia hari ini.

Dalam kehidupan peribadinya, Tok Guru benar-benar mengamalkan kehidupan sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Amalan ibadat beliau tetap “steady” daripada dulu hingga kini. Kekuasaan yang Allah kurniakan kepadanya samada dalam kerajaan dan parti tidak pernah mengaburi penglihatannya terhadap keagungan Islam. Tok Guru tetap sederhana dalam hidup. Tok Guru bikin apa yang beliau cakap dan ingatkan orang lain buat benda baik dan jauhkan benda jahat. Keilmuan Tok Guru tentang Islam hampir “second to none” dan pengalaman politiknya amat luas dan mempersonakan. Sebutlah kepada sesiapa saja tentang Tok Guru termasuk kepada orang-orang UMNO dan orang-orang bukan Islam, tiada lain yang kita dengar melainkan puji dan sanjungan.

Tetapi tup tup di Selangor (atau mungkin ada juga sikit-sikit tempat lain) ada orang PAS kutuk Tok Guru macam-macam. “Orang tua nyanyuklah, mati cepat lagi baiklah” dan sebagainya. Anak Bapa terkejut beruk dengar berita macam ni. Kata-kata nista ini mereka lemparkan kepada Tok Guru kerana Tok Guru menentang keras idea kerajaan perpaduan (perpaduang) sehingga ke peringkat suruh buat EGM pecat Dr. Hasan Ali, Ustaz Nasharuddin dan Mustafa Ali. Apa tak terkejutnya, benda ni tak pernah Anak Bapa terfikir akan diucap sebelum menang dalam pilihanraya 8 Mac tahun lepas. Tak usah dok heran dengan Tok Guru atau orang-orang Kelantan sebab mereka dah lama menang. Yang kita nak cerita ni tentang orang Selangor yang menang sikit dan orang Terengganu (yang kalah lagi!) dah jadi sasau satu macam sampai teguran Tok Guru pun bukan setakat tak nak dengar, siap dikutuk lagi orang tua tu!

Sapa puak-puak ni nak cakap Tok Guru macam tu. Ilmu dan pengalaman mereka setakat mana? Pengorbanan mereka dah cukup besar ke, hingga kepala mereka pun turut jadi besar. Tok Guru dah terbukti keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan. Ini bermakna apabila beliau buat teguran, ia adalah atas dasar kemakrufan dan kepentingan jamaah. Puak-puak ni belum tentu. Silap-silap sebab dapat banyak projek di Selangor tak, hingga hilang pertimbangan mereka? Jadi kalau dah Mursyidul Am tegur, dengarlah sama. Kalau tak setuju jumpa dia dan “explain”. Anak Bapa nak tanya jika ayah kita pukul kita, kita pi tak cerita kat orang yang ayah kita tak guna sebab pukul kita. Tentu tidak sebab kita tau dia buat begitu nak didik kita, kerana sayangkan kita. Dan saya yakin teguran Tok Guru tak ada motif lain melainkan kebaikan dan sayang beliau kepada kita.

Anak Bapa nak beri ingatan kepada puak-puak ini supaya berhenti buat onar dengan Tok Guru kerana agenda nak mencemarkan Tok Guru ni adalah agenda UMNO. UMNO berpandangan bahawa satu-satunya pimpinan tertinggi PAS yang mampu menghalang mereka daripada “merosakkan” PAS dengan isu kerajaan perpaduan ialah Tok Guru Nik Aziz. Dan agenda mencemar dan memburuk-burukkan Tok Guru adalah “top of the agenda” UMNO.

Anak Bapa tidak taksub kepada Tok Guru. Penilaian Anak Bapa adalah atas apa yang beliau ucap dan buat. Setakat ini ianya amat relevan. Jika Tok Guru ada buat silap, insyAllah Anak Bapa akan sama-sama pi jumpa beliau untuk menegur. Tetapi selagi itu belum terjadi, tolong jangan hina Tok Guru kami. Jika tidak Anak Bapa tidak teragak-agak untuk dedahkan siapa puak-puak ni siap dengan bukti rakaman suara!

Anak Bapa: Dengarnya salah sorang yang terlibat tu adalah jenis yang suka tumbuk rostrum bila berucap!

Friday, September 25, 2009

Pakatan Yang Tidak Berpakat?



Nampaknya kita kena padam api lagi. Penat sungguh rasanya. Ingatkan api yang lepas-lepas dah padam habis tetapi nampaknya tekaan Anak Bapa jauh meleset. Api masih terus menyala. Persoalannya sampai bila kita perlu jadi “ahli bomba”. Di dalam ilmu pengurusan kita dilarang daripada menjadi “firefighters” sepanjang masa jika mahu menjadi seorang pengurus yang baik. Ini bermakna perancangan yang tersusun dan lengkap serta bersifat jangka panjang. Ini akan mengelakkan daripada timbul pelbagai krisis yang tak kunjung sudah (yakni kena kerja lebih masa padam api) sepanjang pelaksanaan sesuatu program atau rancangan.

Kita akui bukan mudah untuk menyatukan 3 parti politik yang berlainan latarbelakang dan falsafah perjuangan (masa zaman Rasulullah saw dahulu pun susah juga nak satukan orang-orang Arab). Tetapi rakyat amat memerlukan satu pemerintahan baru yang berteraskan akhlak yang luhur dan murni, yang memberi keutamaan kepada kebajikan dan kesejahteraan mereka. Dan pasti mereka tidak perlukan retorik dan slogan kosong semata-mata tetapi sebaliknya sarat dengan tindakan yang ikhlas dan bersungguh-singguh. Nah, sekarang rakyat dah beri peluang dan mereka mengharapkan sesuatu yang jauh lebih baik daripada apa yang dibuat oleh BN sebelum ini. Dan jika rakyat boleh ubah kerajaan daripada BN kepada PR maka bukanlah sesuatu yang mustahil mereka akan ubah daripada PR kepada BN semula jika mereka dapati PR pun lebihkurang aje dengan BN atau mungkin lebih teruk!

Kita semua kena akui, terutama daripada PAS, bahawa begitu banyak kebaikan kita perolehi selepas memegang tampuk pemerintahan negeri Selangor walaupun terpaksa berkongsi dengan DAP dan PKR. Dengan kuasa yang ada begitu banyak perkara kita boleh buat demi kesejahteraan umat dan rakyat. Mungkin sebagai peringatan kepada kalangan mereka yang mudah lupa supaya elok imbas kembali kehidupan kita semasa BN memerintah dulu dengan semasa PR memerintah. Atau mungkin kalangan ini teringin nak hidup semula bawah BN?

Bercakap mengenai masaalah, kat mana dalam dunia ini yang tak ada masaalah? Sedangkan kehidupan dalam keluarga kita, sesama abang dan adik kita pun kadang-kadang kita bergaduh, inikan pula dalam politik. Jadi fenomena berbeda pandangan itu adalah sesuatu yang biasa dan sememangnya diterima dalam PR. Apa yang tak biasa ialah apabila kita aje yang suka cari kontroversi sesama rakan dan sentiasa bercanggah pandangan dengan pimpinan PR lain dan percanggahan ini sentiasa dibawa ke muka media tanpa melalui proses syura yang begitu kita agong-agongkan. Pandangan pelbagai pihak terhadap PR (baca PAS Selangor, buat ketika ini) adalah kita tidak bulat dalam tindakan dan tidak tahu waktu mana nak berbeda pandangan dan waktu mana nak bersatu. Dalam erti kata lain PAS tak reti nak berkawan atau berpakat dengan orang lain.

Ada yang kata sepatutnya PR memperjuangkan kebebasan bersuara dan jangan menempelak mereka-mereka yang menyuarakan pandangan yang berbeda. Betul, tetapi jika pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh dan tauladan acapkali menyuarakan pendapat yang boleh “undermine” kewibawaan kerajaan (yang dia sendiri anggotai) tanpa terlebih dahulu menggunakan saluran yang sesuai, tentulah ia membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Dalam Islam, kebebasan apa pun bukanlah sesuatu yang mutlak. Ada pertimbangan-pertimbangan lain yang perlu dibuat dalam melaksanakan tuntuan kebebasan tersebut. Aspek ini menjadi amat kritikal terutama bila kita berkongsi pemerintahan dengan rakan-rakan lain yang berlainan ideologi dan keturunan.

“And the clock is ticking ….. “. Kita makin sehari makin menghampiri penghakiman rakyat, yakni PRU ke 13. Kita tidak boleh biarkan fenomena begini berterusan. Pimpinan PR perlu melakukan apa saja untuk memastikan kesepaduan sesama mereka. Jika kesepaduan ini bermakna ada di kalangan kita terpaksa digugurkan, maka laksanakan kerana tuntutan jamaah jauh lebih penting daripada tuntutan individu. Jika tak tahu nak berkawan dengan orang maka kita kena cari orang yang tahu berkawan. Jangan sampai satu peringkat di mana rakyat dah meluat dan menyampah dengan PR disebabkan kerenah satu dua orang pemimpin. Ingatan ini bukan saja untuk PAS tetapi juga untuk PKR dan DAP. Masa berbulan madu dah tamat. Kejutkan mana yang masih dok seronok tidur lagi. Jangan sampai nanti rakyat yang kejutkan dengan penyapu …..

Anak Bapa: Ada juga beberapa orang sahabat Anak Bapa yang kata PAS mesti pertahankan Islam mereka. Berpakat sesama rakan PR bukan Islam ke? Atau dah tak reti berpakat? Sesama ahli PAS pun sesetengah kita tak reti berpakat? Cuba renung betul-betul dan jangan asyik dok salahkan orang lain aje ……

Tuesday, September 8, 2009

Setahun Berlalu .........



Kata orang masa adalah penawar paling mujarab dalam menyembuh segala jenis penyakit terutama penyakit yang tidak ada ubatnya. Tentu kenyataan ini ada yang pertikaikan kerana mengikut hadis Nabi saw “semua penyakit ada ubat kecuali tua dan mati”. Jikalau begitu Anak Bapa tarik balik kenyataan di atas dan menggantikan dengan penyakit yang paling payah nak cari penawar iaitu penyakit pilu dan rindu.

Hari ini genap sudah 1 tahun pemergian puteri tersayang Anak Bapa, Siti Hajar. Pada 8 Ramadan tahun lepas bersamaan 7 September 2009, ketika umat Islam sedang sibuk mengerjakan solat tarawih, Kakak pergi dengan tenang meninggalkan kita buat selama-lamanya di dunia fana ini. Sepanjang setahun yang lepas kami sekeluarga setiap hari terpaksa berhadapan dengan hakikat bahawa Kakak ”pergi tak kembali” lagi. Wajahnya, tingkah lakunya, tutur bicaranya sentiasa menghiasi kehidupan keluarga kami seolah-olah Kakak sentiasa di sisi kami dan tak pernah pun meninggalkan kami. Acapkali kami kembali ke rumah asal di Kelana Jaya pada hujung minggu, kesuraman tetap terasa dan kerinduan terus memukul kalbu. Tetapi apakan daya, Allah swt lebih mengetahui dan lebih bijaksana. KetentuanNya jauh lebih adil dan bijak daripada perancangan dan kehendak makhluk.

Kesyukuran yang amat sangat ke hadrat Allah swt kerana memberi kekuatan kami sekeluarga dalam menghadapi ujian yang amat berat ini. Alhamdulillah kami berjaya setakat ini menghadapi ujian ini, malah ia dapat pula dijadikan pengiktibaran kepada anak-anak yang masih tinggal. Anak Bapa seringkali mengingatkan ahli keluarga bahawa betapa istimewanya Kakak dan keistimewaan itu adalah kerana kehidupannya sentiasa berlandaskan Islam. Dan jika sekiranya kita sayang antara satu sama lain dan ingin dibangkitkan bersama di akhirat nanti maka kehidupan Kakak perlu dijadikan contoh dan diikuti. Ketika hidup dahulu, Kakak sentiasa menjaga ibadatnya terutama solat Tahajjud, menjaga aurat dan kehormatan, suka membantu rakan dan orang lain, tidak terikat dengan kemewahan dan perhiasan duniawi, benci kepada perkara mungkar (malah untuk belajar di UIA pun dia tak mahu ambik pinjaman kerana ada unsur riba’), menegur perkara yang dianggap mungkar (seperti bapa-bapa saudaranya yang kaki perokok) dan pelbagai lagi ciri-ciri makruf lain yang terpancar dari kehidupannya.

Ada satu ciri yang seringkali menyentuh perasaan Anak Bapa apabila mengenangkannya, iaitu betapa sayang dan manjanya beliau kepada Anak Bapa. Selaku anak sulong, sifat manja keanak-anakkan tetap terserlah setiap kali bertemu Anak Bapa. Apabila ada teguran daripada Anak Bapa, Kakak akan spontan menjawab ”yes daddy” dengan nada yang penuh jenaka dan menghiburkan. Anak Bapa seringkali menalipon Kakak dan anak-anak lain waktu dekat-dekat Maghrib ketika mereka berada di Universiti masing-masing untuk bertanya khabar dan samada mereka sedang membuat persiapan untuk solat. Istimewanya Kakak ialah apabila habis bercakap, selang beberapa minit kemudian Anak Bapa akan menerima SMS daripadanya yang berbunyi ”You are the best dad in the whole world. Kakak saaaaayang ayah”. Begitulah kehidupan Kakak, tenang dan tabah dalam menghadapi segala kesukaran.

Anak Bapa masih ingat lagi ketika Kakak dibesarkan, berbanding dengan anak-anak yang lain, kehidupan Anak Bapa agak susah dan dengan itu Kakak pun terpaksa berpuas hati dengan keperluan hidup ala kadar. Tetapi beliau tak pernah merungut malah kehidupan yang serba sederhana ini telah menjadi sebati dengannya sehingga apabila kehidupan Anak Bapa agak mewah pun beliau masih lagi bersederhana dalam segala segi. Inilah kepiluan dan kerinduan yang ”I missed so much” tentang Kakak. Apa yang penting baginya ialah ilmu dan sumbangan kepada perjuangan Islam dan membantu sahabat dan rakan lain. Anak Bapa doakan anak-anak yang lain juga akan mewarisi sifat Kakak dan alhamdulillah adik perempuannya yang di UM dan adik lelaki yang di UIA pun dah mula nampak mengikuti jejak langkah Kakak kesayangan mereka.

Rakan-rakan Kakak daripada UIA dan Darul Ulum pun tak henti-henti mengunjungi kami dan bertanya khabar. Anak Bapa yakin mereka pun terasa kehilangan seorang sahabat dan pemimpin. Moga qudwah yang dibawa olek Kakak akan juga memberi semangat dan pedoman kepada mereka dalam menjejaki kehidupan seharian mereka. Pada kami sekeluarga pula, pemergian Kakak sebenarnya mengukuhkan lagi komitmen dan kesedaran betapa kerdilnya kita insan ini dan betapa kehidupan sebenar adalah disisi Allah swt kelak. InsyAllah kami sekeluarga berjanji akan terus tabah dan akan menjadikan pemergian Kakak sebagai sumber inspirasi kepada kami dan mereka-mereka yang bersama dengan kami dalam menjejaki kehidupan berlandaskan marzatillah ini selagi mana hayat di kandung badan.

Anak Bapa: Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang Kakak ............ (Allah saja yang tahu) .......

Sunday, September 6, 2009

Malu Jadi Melayu



Anak Bapa malu jadi Melayu hari ini. Kalau boleh nak mengaku dari keturunan bangsa lain, Siam pun tak apa kerana kebetulan Anak Bapa berasal dari negeri berhampiran sempadan Thailand. Dan perasaan ini bukan terbit daripada hati Anak Bapa seorang tetapi juga daripada teman-teman Melayu lain yang berkesempatan untuk hadir dalam “dialog” antara Kerajaan Negeri, MBSA dan penduduk Seksyen 23, Shah Alam. Anak Bapa bercakap begitu bukan kerana tak sayangkan bangsa atau sememang dah lupa asal usul sendiri, tetapi lahir secara spontan apabila melihat gelagat segelintir penduduk kawasan berkenaan apabila membuat bantahan pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Anak Bapa dah pun mengulas cerita kuil ini dalam tulisan sebelum ini dan tidak berhasrat untuk mengulangi kronologi atau rentetan yang membawa kepada konflik ini tetapi lebih nak fokuskan sikap puak Melayu yang memalukan bangsa ini.

Sebaik saja tiba di Dewan Bankuet MBSA, puak-puak ini yang dianggarkan sekitar tak sampai 10 orang terus saja buat kecoh. Mereka cuba serbu YB Khalid, YB Rodziah dan YAB MB sambil menjerit-jerit macam orang kena sampuk hantu. Kata-kata yang diucapkan Allah saja yang mengetahui bermula dengan bodoh, babi, tak guna dan apa saja yang tak tergamak kita nak menyebut atau mendengar di bulan Ramadan yang mulia ini. Mereka bukan saja tidak mahu mengikuti perbincangan secara yang bertamadun tetapi asyik meluru ke hadapan untuk menunjuk sifat kurang ajar kepada kepimpinan negeri yang sedang memberi penerangan. Mereka tak tahu duduk dengan tertib, kejap-kejap berdiri dan mundar-mandir sana sini macam tempat tu mak bapa dia punya, lepas itu asyik menggangu orang lain bercakap, dan berterusan memaki hamun semua orang. Malah ada ketikanya mengangkat kerusi untuk dibaling kepada orang lain. Nasib baik ada penguatkuasa MBSA di situ untuk menghalang kerja-kerja mereka yang tidak beradab itu.

Sebarang bentuk penerangan yang diberi akan ditenggelamkan oleh boo dan kata-kata nista mereka sedangkan itu tujuan sebenarnya majlis ini diadakan yakni untuk menerangkan CADANGAN yang dipersetujui oleh semua pihak (PKNS, MBSA dan Kerajaan Negeri) kepada penduduk Seksyen 23. Dan sememangnya itu prosidur yang dikeluarkan oleh Perancang Bandar dan Desa dalam mendengar bantahan iaitu perlu mendapat kelulusan daripada agensi-agensi berkaitan dahulu sebelum dibincangkan dengan penduduk tempatan. Tetapi mereka tak peduli. Mereka telah nekad bahawa Kerajaan Negeri telah lupakan mereka dan memang telah siap untuk memindahkan kuil berkenaan. Ini dipanggil bodoh tak boleh diajar dan cerdik tak boleh ditegur. Mungkin semasa zaman pimpinan kesayangan mereka UMNO/BN dulu cara begini diamalkan. Suka atau tak suka dia buat juga, lepas tu suruh polis tangkap siapa yang protes.

Pimpinan negeri memang memberikan peluang seluas-luasnya kepada mereka untuk meluahkan perasaan dan rintihan. Tetapi apabila tiba giliran YB Khalid untuk menjawap soalan dan memberi komen terhadap pandangan mereka, mereka sekali menunjukkan sikap kurang ajar dengan mengeboo dan menyumpah seranah beliau. Anak Bapa ingin mengucapkan tahniah kepada YB Khalid kerana berjaya mengawal emosi dengan baik walaupun diseranah dengan dahsyat.

Untuk menambah malu puak-puak Melayu ini, penduduk Seksyen 23 yang terdiri daripada kaum India dan Cina pula begitu tertib menghadiri dialog tersebut. Mereka menghantar 2 orang wakil yang bercakap dengan baik dan beradab. Aduuuuh apa nak jadi dengan bangsa aku ni. Tak tahukah mereka bagaimana nak bawa diri di dalam majlis jemputan orang dan berkomunikasi dengan tertib? Atau mungkinkah mereka ini produk daripada kilang pemimpin keris telanjang yang perangai 2 kali 5 dengan dia orang?

Anak Bapa: Sah ini semua acuan UMNO! Dan sahlah hayat UMNO dah cukup dekat!